SEJARAH

KEM PENGAKAP JUBLI INTAN

Dewan Syed Esa dahulu 

Bergotong royong membersih dan membangunkan kem. 
Dibuka pada tahun 1954 oleh Dato’ Syed Esa Alwee, Cikgu Baba bin Othman, Dato’ Bidin Login, Cikgu Shuib Ismail, Cikgu Mohd Diah Abd Rahman dan beberapa orang pemimpin pengakap. 

Dibuka setelah kerajaan Johor menganugerahkan tanah di Tanjung Laboh. Pemimpin pengakap bergotong royong menebang pokok kelapa, pokok nibung, pohon buluh, menebas semak samun di kawasan yang akan didirikan kem tersebut. 

Menggunakan kudrat tulang empat kerat dengan bantuan gergaji dan alat-alat tradisional sahaja untuk membersihkan dan membina kem tersebut. 

* Terletak di kampung Tanjung Laboh, mukim IX kira-kira 14 ½ km dari Bandar Penggaram menghala ke Pontian. Luasnya 23 ½ ekar. 

* Keadaannya berbukit-bukit dengan bertanahkan pasir putih poros. 

* Pada asalnya, terdapat beberapa pondok pengakap dan sebuah dewan kayu diberi nama Dewan Dato’ Syed Esa . Luas dewan ini 199kaki x 20 kaki. 

Terdapat empat buah bilik di dewan tersebut dengan diberi nama; Baba room, Bidin room, Shuib room dan Majid room iaitu di antara empat tokoh pengakap yang mengasaskan pembinaan kem tersebut. 

Telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada 23 Mac 1956
Cikgu Shuib bin Haji Ismail
Tokoh Guru Negeri Johor 1985 
Cikgu Baba bin Othman
Tokoh Guru Negeri Johor 1987



Cikgu Mohd Diah Abd Rahman (Ketua kontinjen Johor) ketika majlis penyerahan bendera kepada setiausaha kerajaan Negeri Johor bersempena Jambori Malaysia ke-4 di Kuching, Sarawak.
Tokoh Guru Kebangsaan 1980
Tokoh Guru Negeri Johor 1979
Sumber :
1. Buku Johor Mengenang Sumbangsihmu terbitan Yayasan Warisan Johor, 2006
2. Ramli Ibrahim, cucu Cikgu Mohd Diah Abd Rahman




PERPUSTAKAAN DAN GALERI PENGAKAP NEGERI JOHOR


Lokasi : Perpustakaan dan Galeri, Kem Pengakap Jubli Intan, Tajung Labuh, Batu Pahat
(Dahulu dikenali sebagai Dewan Syed Esa)

PPNJ Pusat Sumber : Tn Hj Mohd Noh bin Hj Hamim

Pusat rujukan pengakap, selatan tanahair.
Koleksi : Buku, gejet, gambar, bahan projek Ujian Pengakap Raja, dll.











JASA ALLAHYARHAM TUN SARDON KEPADA PERGERAKAN PENGAKAP AKAN DIKENANG


KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Jasa Allahyarham Tun Sardon Jubir kepada Pergerakan Pengakap dalam negara ini akan dikenang apabila Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-23 dari 27 Okt hingga 1 Nov depan, kata seorang pegawai Persekutuan Pengakap Malaysia.

Sardon, yang merupakan Ketua Pengakap Negara dari tahun 1963 hingga 1973, telah banyak memberi sumbangan kepada Pergerakan Pengakap tempatan, terutamanya dalam mewujudkan Akta Persekutuan Budak-Budak Pengakap Tanah Melayu (Akta Parlimen No 38 Tahun 1968), kata Sahrizal Sunari, Setiausaha Unit Persaudaraan B-P & Veteran, persekutuan tersebut

Dalam satu kenyataan , Jumaat Sahrizal berkata banyak pembangunan pengakap di Malaysia telah dilaksanakan oleh Sardon semasa beliau menerajui Persekutuan Pengakap Malaysia.

Antara yang menjadi kebanggaan adalah penganjuran Persidangan Pengakap Timur Jauh ke-4 pada tahun 1964, di mana Malaysia julung kali menjadi tuan rumah kepada persidangan Pengakap serantau, dan Jambori Pengakap Malaysia pertama pada 1966.

Sahrizal berkata bakti Sardon dalam pergerakan pengakap telah membolehkan tokoh tersebut menerima beberapa anugerah pengakap di dalam dan luar negara, antaranya "Pingat Emas" dari Pengakap Korea Selatan dan "Pingat Emas Raja" dari Pengakap Thailand.Sebagai mengenang jasa beliau juga, kem pengakap di Balakong, Selangor dinamakan Kem Pengakap Sardon Jubir.

Pada masa ini terdapat 24 buah negara menjadi ahli rasmi pergerakan pengakap Rantau Asia Pasifik. Mereka terdiri daripada Australia, Bangladesh, Bhutan, Brunei, Kemboja, Taiwan, Fiji, Hong Kong, India, Malaysia, Indonesia, Jepun, Kiribati, Korea Selatan, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka dan Thailand.

Sardon, yang dilahirkan pada 19 Mac, 1917 di Sungai Kluang, Rengit, Batu Pahat, telah memegang beberapa jawatan Kabinet dari tahun 1957 hingga 1973 sebagai Menteri Kerja Raya, Telekom & Pos, Menteri Pengangkutan dan Menteri Kesihatan.

Pada tahun 1974, beliau telah dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dari tahun 1975 hingga 1981.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment